Monday, August 15, 2011

12 Muslim dalam gereja tampil

SHAH ALAM - Seramai 12 umat Islam, yang berada dalam sebuah gereja di Damansara Utama ketika pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru, tampil memberi keterangan dan menerima kaunseling di pejabat jabatan itu di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, semalam.       

Seramai tiga lelaki dan sembilan wanita yang berusia antara 20an dan 40an dilihat tiba secara berperingkat mulai 9.15 pagi hingga 1 petang.

Turut kelihatan berada di Bilik Mesyuarat, tempat keterangan itu diambil ialah Pengarah Jais, Marzuki Hussin dan Timbalan Mufti Negeri Selangor, Datuk Abdul Majid Omar.

Menurut sumber, mereka diberi kaunseling secara kumpulan kecil antara dua dan tiga orang oleh beberapa pegawai Jais dan Jabatan Mufti Selangor.

Difahamkan bahawa proses mengambil keterangan dan diberi kaunseling itu akan berakhir lewat petang ini.

Jais memanggil kesemua 12 individu itu memberi keterangan hari ini selepas mereka gagal berbuat demikian pada 9 Ogos lepas.

“Sebahagian daripada mereka hadir dengan ditemani peguam masing-masing,” kata sumber itu.

Maklumat lanjut mengenai proses memberi keterangan dan kaunseling gagal diperoleh daripada Marzuki yang enggan bertemu pihak media dan tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya. - Bernama

No comments:

Post a Comment