BUTTERWORTH: Lima kemalangan dalam tempoh satu setengah jam termasuk satu kemalangan maut menyebabkan kesesakan lebih tujuh kilometer selama kira-kira empat jam menghala ke Jambatan Pulau Pinang (JPP) dari Seberang Prai disifatkan antara kemalangan terburuk tahun ini.
Kemalangan pertama berlaku jam 6.35 pagi menyebabkan kesesakan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Sungai Dua selain Juru, Jalan Chain Ferry dan Jalan Perusahaan menghala JPP ketika orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja.
Turut terbabit dalam kemalangan, jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Asman Ibrahim yang dilanggar motosikalnya ketika mengambil gambar kemalangan atas JPP. Pengurus Operasi Kanan Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB), Asnor Ali, berkata pada mulanya satu kemalangan maut berlaku di Kilometer 5.1 JPP membabitkan penunggang motosikal dengan treler jam 6.35 pagi.
Katanya, kemalangan kedua jam 7 pagi membabitkan empat kenderaan di Kilometer 4.8 atas jambatan menghala pulau, manakala kemalangan berasingan juga membabitkan empat kenderaan di Kilometer 138.2 menghala plaza tol.
Menurutnya, pada jam 8.06 pagi pula, satu lagi kemalangan di Kilometer 6.2 di arah menghala Seberang Prai babitkan tujuh kenderaan.
“Selain itu, berlaku kemalangan kecil di Kilometer 6.2 menghala pulau membabitkan dua kenderaan.
“Kemalangan hari ini (semalam) mungkin sejarah paling buruk bagi JPP kerana membabitkan banyak kenderaan dalam tempoh beberapa minit,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang, Deputi Superintendan Abd Rahim Din berkata lelaki warga emas yang maut dikenali Azhar Pawanteh, 52, dari Lunas, Kedah yang dalam perjalanan dari rumahnya ke tempat kerja di sebuah kilang perindustrian di Bayan Lepas.
No comments:
Post a Comment