Tuesday, August 9, 2011

Info : ‘SERANGAN JAIS’ KE ATAS GEREJA: Tanya Diri Kita Dulu! (DrMAZA)

Ingat tak lagi kes Serangan JAIS di Selangor pada Rabu yang lepas. Rasanya adalah tidak  munasabah kerana JAIS serbu sebuah gereja hanya kerana menerima satu maklumat yang mereka sendiri pun tidak pasti betul atau tidak. Dan adalah tidak wajar untuk menyerbu tempat-tempat beribadah tanpa waran atau bukti kukuh. Dan sampai sekarang pihak JAIS masih tidak dapat memberi kenyataan/bukti yang sebenarnya mengenai isu ini selepas 5 hari. Ini kenyataan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidinmengenai isu serangan JAIS ke atas gereja:


Saya belum ingin mengulas tentang ‘serangan’ atau serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya seperti yang disiarkan oleh berita beberapa hari ini di sudut tindakan ‘serangan’ itu. Cumanya, seperti mana yang kita ketahui bahawa tiada manusia yang bertamadun yang boleh menerima tindakan provokasi yang boleh mencetuskan permusuhan antara penganut agama tanpa alasan yang sah. Saya ingin menyentuh tentang orang-orang Islam yang hadir ke majlis tersebut yang dikatakan oleh pihak media hadir mereka terpengaruh dengan agama Kristian disebabkan sikap baik penganut agama berkenaan membantu mereka. Difahamkan bahawa orang-orang Islam yang hadir, terutama ibu-ibu tunggal terdiri dari kalangan mereka yang amat daif dan miskin. Mereka telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi’. Di sini beberapa persoalan patut ditimbulkan;
 
 
 
 
1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain?
 
2. Mengapa kerenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM 100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak?
 
3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?!
 
4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang muslim menerima bantuan daripada bukan muslim. Apatahlagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.
 
5. Jika dibincangkan disudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap orang untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu. Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa. Janganlah jika kita gagal membantu–sedangkan kita mampu- kita menyalahkan orang lain yang membantu.
 
6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?
 
Maka, banyak persoalan perlu masyarakat muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita!
p/s : memang ada benar juga kata DrMaza ini, JAIS menyatakan mereka menyerbu kerana menerima laporan dalam makan malam tersebut terdapat ayat "Quran" dan "prayer" dari kedua-dua agama yang hadir. Jadi apalah masalahnya? Bukankah ini dah menjadi kebiasaanya berlaku di semua tempat pendidikan, orang yang bukan beragama Islam akan menghormati semasa bacaan doa. Bacaan doa ini tidak semestinya terus dikaitkan dengan isu murtad. Itu cuma menunjukkan cara kita adalah berbeza dan kita wajib hormat. Satu lagi persoalan, JAIS menyerbu kerana orang Islam masuk ke dalam gereja dan orang Islam ini patut ditahan. Jadi macam mana pula dengan PM Datuk Seri Najib dan bekas perdana menteri yang masuk ke dalam gereja paling besar di dunia berjumpa dengan Pope? Adakah patut mereka juga ditahan? Semasa belajar dulu, ramai rakan bukan Islam juga berpuasa bersama-sama dan berbuka sama-sama di surau. Jadi patutkah mereka ditahan juga? Adakah semua ini salah? Renungkan la sendiri

No comments:

Post a Comment