Ikut lelaki 400km
KAMPAR: Misteri kehilangan gadis berusia 17 tahun sejak seminggu lalu akhirnya terjawab selepas mangsa ditemui dalam keadaan ‘bingung’ di satu lokasi kira-kira 400 kilometer (km) dari rumahnya, kelmarin.
Seri Najwa Ferda Hasan yang didakwa diculik seorang lelaki menaiki skuter merah ketika dalam perjalanan ke sekolah pada 4 Ogos lalu, ditemui bersama seorang lelaki berusia 19 tahun kira-kira jam 9 malam kelmarin di Air Hitam, Batu Pahat, Johor.
Lebih pelik, mangsa difahamkan ditemui ketika sedang membeli makanan ringan bersama dengan ‘penculiknya’ di kawasan pekan berkenaan.
Mangsa kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini, untuk dipertemukan kembali dengan ahli keluarganya kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
Ibu mangsa, Seri Wangi Mokhtar, 42, bersyukur ke hadrat Ilahi berikutan anaknya itu ditemui semula dalam keadaan selamat.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis dan media dalam usaha mencari anak saya sehingga berjaya ditemui. Saya anggap kejadian ini satu dugaan daripada Tuhan pada bulan Ramadan.
“Saya reda menghadapinya kerana dugaan ini tidak akan diberikan kepada insan yang lemah. Ia mengajar kami sekeluarga supaya lebih tabah dan mempunyai hikmah di sebaliknya,” katanya.
Difahamkan Najwa dipujuk lelaki berkenaan untuk melarikan diri dari rumah sebelum dibawa ke Johor atas sebab-sebab tertentu.
Ditanya sama ada dia ingin mengambil tindakan terhadap teman lelaki anaknya, Seri Wangi menyerahkan siasatan dan tindakan selanjutnya kepada pihak polis.
“Saya enggan memberi sebarang komen mengenai perkara itu dan minta diberikan masa kepada kami untuk berbincang. “Perkara paling penting Najwa ditemui selamat. Insya-Allah kami akan mengadakan kenduri doa selamat dan berharap ia adalah dugaan pertama dan terakhirnya seumpamanya dihadapi keluarga kami,” kata Seri Wangi yang juga ibu tunggal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Salleh berkata, siasatan mendapati kes kehilangan mangsa bukan disebabkan diculik.
“Mangsa ditemui di Air Hitam, Batu Pahat, Johor malam semalam (kelmarin) dalam keadaan selamat dan siasatan mendapati, mangsa bukan diculik tapi mengikut rakan lelakinya. Seorang suspek lelaki kini ditahan bagi membantu siasatan,” katanya
No comments:
Post a Comment