KULIM - Seorang peniaga tidak menyangka bunyi letupan yang didengarnya beberapa kali ketika sedang tidur adalah bunyi tembakan yang dilepaskan ke arah kereta dan rumahnya.
Tan Foo Onn, 54, berkata, bunyi itu didengarinya pada kira-kira jam 2.40 pagi, semalam.
Dia yang tinggal di Taman Penaga mengakui hanya menyedari bunyi itu adalah bunyi tembakan selepas melihat satu kesan tembakan mengenai pintu kayu rumah, dua kesan pada nombor rumah, dua lagi peluru mengenai pintu kaca, manakala empat kesan peluru mengenai belakang kereta mangsa.
“Sebelum ini saya tidak pernah berhutang atau bermusuhan dengan sesiapa. Saya harap polis dapat menyiasat kes ini dengan seberapa segera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, sehingga kini polis masih menyiasat motif kejadian.
Dari siasatan awal dijalankan mendapati, sembilan peluru ditemui di tempat kejadian dan ia dipercayai ditembak dari dua senjata berasingan kerana terdapat dua jenis peluru ditemui.
“Saya berpendapat kes ini tidak bermotifkan bunuh atau culik kerana sekiranya penjenayah terlibat mahu melakukan jenayah sedemikian, mereka tidak akan melepaskan tembakan rambang ke arah rumah atau kenderaan mangsa.
“Bagaimanapun, polis masih menyiasat kes ini dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil memberikan maklumat di mana-mana balai polis berhampiran. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya
No comments:
Post a Comment