Monday, August 8, 2011

Wanita lewat pulang kereta dipijak

SUBANG JAYA: Hanya kerana lewat 10 minit, seorang wanita bukan saja ditampar dan ditendang, malah dipijak di khalayak ramai kerana lambat memulangkan kereta milik teman lelakinya di USJ, di sini, Jumaat lalu.
Menurut sumber, kejadian itu bermula apabila mangsa berusia 20-an dikatakan meminjam kereta milik teman lelakinya yang juga berusia 20-an dan berjanji memulangkannya semula di pejabat lelaki itu yang terletak di USJ, kira-kira jam 4 petang.
“Bagaimanapun, mangsa terlewat kira-kira 10 minit berikutan jalan sesak sekali gus menimbulkan kemarahan teman lelakinya yang kemudian bertindak menampar mangsa sejurus mangsa keluar dari kereta.
“Selepas menampar mangsa, lelaki itu turut bertindak menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum menendang dan memijak perut mangsa berulang kali.
Sumber berkata, orang ramai cuba membantu mangsa namun dihalang teman lelakinya yang mengugut akan membunuh mangsa sekiranya ada sesiapa cuba membantunya.
“Sebaik saja teman lelaki mangsa meninggalkan tempat kejadian, salah seorang daripada mereka yang menyaksikan kejadian bertindak membawa mangsa ke klinik berdekatan untuk rawatan dan kemudian menghantar mangsa ke Balai Polis USJ untuk membuat laporan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, suspek iaitu teman lelaki mangsa ditahan Sabtu lalu untuk diambil keterangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK) kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 KK kerana mencederakan dengan niat,” katanya.

No comments:

Post a Comment